Wednesday, 12 October 2011

Review Teater Juta-Juta





SINOPSIS

Teater 'Juta-Juta' mengisahkan mengenai perjalanan seni tiga orang rakan baik yang bercadang mementaskan teater di sebuah panggung terhebat tanah air iaitu Keraton Seni. Mereka membuat sesi pembentangan untuk mendapatkan sokongan dan tajaan daripada banyak pihak. Walaubagaimanapun, perjalanan seni mereka tidaklah semudah yang disangka.


Sedang membuat pembentangan idea di hadapan Pengarah Keraton , bakal penaja, dan juga  pengkritik teater terhebat tanah air, mereka mengimbau kembali bagaimana mereka bergelumang dengan senario teater tanah air sewaktu zaman belajar dahulu.Mereka meneruskan perbincangan untuk mementaskan teater sehingga bertikam lidah dan menyalahkan pihak lain.


REVIEW


Teater ini diarahkan oleh bekas pelajar UiTM iaitu Fasyali Fadzli. Hanya tiga orang pelakon dalam teater ini iaitu Anas Ridzuan, Aloy Paradoks dan Fazleena. Mereka bertiga melakonkan watak yang berbeza-beza. Walaupun mereka membawa watak yang pelbagai namun mereka berjaya membawa kesemua watak dengan sempurna.
Dari segi plot, jalan cerita teater ini tidak mengikut kronologi namun jalan ceritanya berjaya diolah dengan baik sehingga menjadikannya menarik dan mampu memberikan impak yang positif kepada audiens. Malahan jalan ceritanya tidak terlalu panjang tetapi padat dengan mesej yang berguna. Pada pendapat saya, lebih baik membuat jalan cerita yang ringkas dan padat daripada membuat jalan cerita yang panjang berjela-jela dan membosankan. Unsur-unsur humor yang diterapkan dalam teater ini juga membuatkan audiens tidak kering gusi melihatnya. Selain itu, apa yang membuatkan teater ini menarik ialah pelakonnya mampu berinteraksi dengan audiens dengan baik sekali. Antara faktor utama mereka dapat mewujudkan komunikasi dengan audiens ialah mereka cekap melontarkan suara mereka dengan begitu jelas.

Dari segi set dan props, ianya agak ringkas. walaupun nampak ringkas (mungkin disebabkan bajet yang rendah) namun itu tidak menghalang audiens dari melihat mesej di sebalik cerita itu. Hal ini kerana jalan cerita yang menarik sebenarnya lebih penting dari set dan props yang cantik.

Dari segi pencahayaan pula, ianya berjaya diolah dengan baik. Ini kerana pencahayaan yang digunakan sesuai dengan mood cerita tersebut. Malahan ketika pelakon berdialog dan bermonolog, pencahayaannya berubah untuk menunjukkan bagaimana perasaaan yang dihadapi oleh pelakon.

Dalam penggunaan kostum pula, kostumnya juga tidak terlalu banyak seperti set dan props. Mereka hanya menggunakan kostum yang penting sahaja untuk menggambarkan genre teater yang berbeza seperti kostum pahlawan zaman silam (teater tradisional). Mereka juga menggunakan kostum ahli korporat untuk menggambarkan suasana mesyuarat di Keraton.

Kesimpulannya, teater Juta-Juta ini adalah salah satu karya yang baik kerana ia memuatkan mesej dan kritikan tentang dunia teater masa kini. Bagi saya, teater ini tidak memerlukan elemen muzikal tetapi masih mampu menarik minat penonton untuk menontonnya sehingga ke penghabisan cerita.

No comments:

Post a Comment